::  PETA LAMAN |  DAFTAR ONLINE       
Pengenalan
Qaedah Al-Akhyaar
 
   
PENGENALAN QAEDAH AL-AKHYAAR


Qaedah Terpilih AL-AKHYAAR

Al-Akhyaar qaedah terpilih ini disusun untuk kemudahan pelajar-pelajar mengikuti pengajian Asas Kemahiran Membaca Al-Quran dengan mudah, cepat dan berkesan Insya Allah swt. Seperti sistem atau qaedah yang lain juga keberkesanannya adalah apabila guru atau pembimbing Al-Quran dilatih, mahu melatih dan menjadi terlatih menggunakan pengetahuan, kefahaman, pengalamannya dan kebijaksanaan kurnia Allah kepadanya semasa mengajar menggunakan qaedah tersebut.

Adalah kurang adab dan tidak beretika kepada Allah swt dan KitabNya apabila seseorang yang ingin menjadi pembimbing atau guru Al-Quran tidak membuat persiapan ini dengan selengkap dan secukupnya. Maka untuk mengajar Al-Quran, Allah swt telah memberikan kita petunjuk dan panduan daripada ayat-ayatNya yang khusus bagaimana ia harus diajar dan disampaikan kepada manusia.

Maka antara keistimewaan Al-Akhyaar qaedah terpilih ini menunjukkan bahawa program pengajian asas kemahiran membaca Al-Quran ini mudah dilaksanakan dengan sistem yang tersusun, matlamat yang digariskan dan dirancang dapat tercapai khususnya pelajar dan penuntut Al-Quran itu sendiri. Maka ciri-ciri kaedah yang baik lagi berkesan akan mempunyai perkara-perkara prinsip berikut: sistem, pendekatan, bertahap dan teknik.

ke atas  
Penerangan tentang keistimewaan Al-Akhyaar kaedah terpilih:

* Pemikiran Qurani atau ‘ Quranic Thinking ’

Pemikiran Qurani adalah anugerah Tuhan kepada manusia sejak diciptanya Nabi Adam as. Segala ilmu atau pemikiran untuk mengurus kehidupan di atas muka bumi ini telah diajarkan kepadanya. Sebagai anak-cucunya, kita mewarisi pemikiran ini. Antara pemikiran Qurani ini adalah pemikiran kemahiran membaca al-Quran. Peringkat ini adalah yang paling asas perlu kita kuasai sebelum kita memasuki pemikiran qurani yang lain. Jesteru itu kecerdasan Qurani ini perlu didedahkan sejak awal lagi di peringkat awal pendidikan kanak-kanak khususnya peringkat asas kemahiran membaca al-Quran secara tetap dan berterusan sepanjang hayat. Perkara ini sudah dijelaskan Allah swt di surah ar-Rahman dan di akhir-akhir surah al-Isra’:

“Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara”.

Surah Ar-Rahman 55 ayat 1 - 4

“Dan dengan benar Kami turunkannya (Al-Quran) Dan dengan kebenaran ia diturnkan. Dan kami tidak mengutusmu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan Pemberi peringatan. Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan berangsur-angsur Supaya kamu membacakannya kepada manusia perlahan-lahan dan Kami turunkannya secara bertahap”.

Surah Al-Isra’ 17 ayat 105 -106

ke atas  

* Al-Quran dan Bahasa ‘Arab Bersepadu

Kebanyakan contoh kalimah atau bacaan ayat-ayat diambil daripada al-Quran kecuali di permulaan pelajaran. Kalimah atau contoh bacaan yang digunakan juga sesuai dengan bahasa ‘Arab. Kalimah-kalimah al-Quran ini pasti meyakinkan kita bahawa ia memberi makna yang mudah difaham dan diamalkan sebagai langkah awal untuk menghayati al-Quran. Sesungguhnya penghayatan al-Quran tidak bermula dengan kefahaman tetapi dengan kemahiran membacanya terlebih dahulu kerana ia juga bertahap daripada Qiraah kepada Tartiil dan diakhiri dengan peringkat tilawah. Firman Allah swt yang ertinya:

“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa ‘Arab dan Kami telah menjelaskan dengan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman supaya mereka bertaqwa atau ia (al-Quran) Menimbulkan pengajaran bagi mereka”.

Surah Tdaha 20 ayat 113

“Orang-orang yang Kami telah beri Al-Kitab, mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, Mereka itulah yang beriman kepadanya. Dan barang siapa yang ingkar kepadanya maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.

Surah Al-Baqarah 2 ayat 121

ke atas  
* Pendekatan Kata kunci Yang Berkesan

Kefasihan membaca al-Quran tidak boleh dipisahkan dengan bahasa ‘Arab, maka enam kata kunci yang digunakan adalah untuk kemudahan menghafal dan memahaminya yang diambil daripada al-Quran. Menggunakan kata kunci ini terbukti dapat memudahkan pelajaran yang akan dipelajari. Terdapat 14 huruf al-Quran dapat dikenalkan dan dipelajari menggunakan kata kunci tersebut. Pendekatan mudah dan bertahap ini sesuai dengan syi’ar dan tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia. Firman Allah swt yang bererti:

“Dan sesungguhnya , telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?”

Surah Al-Qamar 54 ayat 17, 22, 32 & 40

Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu supaya kamu menjadi susah”.

Surah Tdahaa 20 ayat 2

 

ke atas  

* Sistem Holistik Yang Diiktiraf Dunia Pendidikan

Sistem Pengajaran – pengisian, pengamatan, pemisahan, pemilihan, pemaduan, pelatihan bacaan berulang-ulang, pengamalan tajwid ‘amali, penyemakkan, pembetulan dan pengesahan bacaan.

Sistem Pembelajaran - pelajaran, bacaan mudah, pengukuhan, pengkayaan, penilaian, musyafahah tajwid amali, Latihan bacaan putus-putus, tajwid al-Quran dan Talaqqi Musyafahah.

“ Shibghah Allah (celupan fitrah). Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah”.

Surah Al-Baqarah 2 ayat 138

“...maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu Mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk setiap umat di antara kamu Kami berikan peraturan dan jalan yang terang...”

Surah Al-Maidah 5 ayat 48

Pengajaran dimulakan dengan tahap pengisian samaada dengan bercerita, bernyanyi atau bermain. Tahap ini akan diikuti oleh tahap pengamatan huruf, tanda baris dan bunyi gabungan keduanya tadi. Pelajar dikehendaki mengenal bunyi dan sebutan setiap huruf. Tahap pemisahan dan pemilihan mengajar pelajar untuk mengenal bentuk huruf yang berbeza pada kedudukannya. Tahap pemaduan antara huruf yang berbeza dan tanda baris yang berbeza juga akan melatih pelajar untuk menggabungkan bunyi.

Setelah itu pelajar diharap mampu membaca walaupun secara sederhana. Kuncinya adalah pelajar tidak jemu dilatih dan melatih untuk meningkatkan kelancaran dan kefasihan membaca di tahap pengukuhan, pengkayaan dan tajwid ‘amali secara latih tubi atau berulang-ulang dan berterusan.

Tajwid al-Quran adalah kemuncak asas kemahiran membaca dan mengajar al-Quran. Malahan apabila seseorang sudah mahir membaca al-Quran melalui pengajian yang diikuti dan pembimbing yang layak menyemak dan memperbaiki bacaan, amatlah mencabar untuk mengekalkan tahap kelancaran dan kefasihan membaca sekiranya kebiasaan atau sunnah khatam al-Quran tidak diamalkan di dalam kehidupan harian.
ke atas  
* Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pembelajaran

Sukatan pelajaran asas persediaan membaca mempunyai 25 tajuk pelajaran telah disusun untuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Sebenarnya hanya terdapat tidak lebih daripada 10 tajuk asas persediaan membaca, yang lain adalah tambahan sahaja.

Rancangan Pembelajaran adalah pelajaran, latihan membaca dan bacaan mudah, pengukuhan, pengkayaan dan penilaian, tajwid ‘amali potongan ayat atau surah, tajwid mudah dan tajwid al-Quran.

ke atas  

* Teknik Pengajaran Berkesan

Teknik Pengajaran menggunakan teknik (Optimum Whole Brain Learning). Teknik yang pelbagai ini diharapkan dapat menyatukan unsur-unsur pemikiran Qurani samaada kemahiran tilawah atau hafalan, kefahaman atau logik, pengamalan dan pergerakan, kajian dan pembangunan, keindahan dan kehalusan, hubungan perorangan, hubungan antara makhluq, ketuhanan dan kerohanian. Semua ini bermula dengan asas kemahiran membaca kalam Tuhan.

Maka Al-Akhyaar kaedah terpilih ini adalah wadah untuk meletakkan batu asas untuk anak-anak dan remaja kita yang tersayang kembali kepada al-Quran kerana di sini terdapatnya kemuliaan sesuai pengisytiharan Tuhan di surah al-Anbiya 21 ertinya:

‘ Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat kemuliaan kamu, tidakkah kamu memikirkan ’

ayat 10 dan di Surah az-Zukhruf 43 ertinya:

‘ Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar memberikan kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu, dan kelak kamu akan ditanya ’ ayat 44

Sesunguhnya Allah swt dengan segala ihsan dan kemurahanNya telah menganugerahkan kita dengan al-Quran yang lebih berharga daripada matahari, bulan dan ‘alam. Maka bersyukurlah dengan ni’mat Tuhan selagi kita berada di bumi Tuhan.

Falsafah disebalik kata kunci ini adalah seperti berikut:

Seorang yang telah mendapat ( WaJaDa ) ni’mat ia itu Al-Quran yang telah ditulis ( KaTaBa ) perlu belajar membaca dengan sungguh-sungguh sehingga mahir. Dia perlu ta’at dengan perintah ( AMaRa ) Allah supaya membaca Al-Quran dengan ikhlash, tekun, sabar dan berterusan menggunakan sepenuh tenaga, jiwa dan raganya ( YaDaKa ).

Bukan hanya itu, pengamalan ruh dan jasadnya terhadap ajaran Al-Quran juga memerlukannya bertawakkal dan bermohon ( SaALa ) kepada Allah swt yang memiliki Kitab ini untuk berjaya di dalam perjuangannya menyampaikan kalimah Allah atau Syahadah. Maka akan menjadi hina ( WaHaNa ) serta celakalah orang yang menjual ayat-ayat Allah swt dengan imbalan dunia yang sedikit ini kerana kehidupan akhirat lebih baik dan kekal selama-lamanya dengan segala keni’matan kurniaan Allah swt tanpa had dan batasan. Maka pejuang Islam pernah berseru – ‘ Tiada Kehidupan Melainkan Kehidupan Akhirat ’.

Untuk keterangan lanjut tentang Kaedah Al-Akhyaar, Sila klik      

ke atas  

Rotating Banner


LAMAN UTAMA | MENGENAI KAMI | QAEDAH AL-AKYAAR | PERKHIDMATAN KAMI | JAWATAN | HUBUNGI KAMI | PETA LAMAN

© 2009 AR-RIYAADH. All rights reserved.
Best viewed in 1024 by 768 pixels.